27 May 2009
Dinar Emas dan Dirham Perak
Yang perlu diketahui tentang Dinar Emas dan Dirham Perak
Keunggulan dan keberkesanan penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang asas di dalam pergerakan ekonomi sudah lama diamalkan dan telah tersemat di dalam lembaran sejarah Tamadun Manusia dan Islam khususnya. Kebelakangan ini komoditi logam ini sudah acapkali dicanangkan semula sebagai instrumen alternatif penggunaanya semula di dalam aktiviti ekonomi dunia semasa sebagai matawang apatahlagi sebagai alternatif pelaburan. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang memang sudah diyakini berkurun lamanya boleh digunapakai secara meluas tanpa batasan serta konsisten walaupun sebelum ini banyak pihak cuba menyanggah dan tidak kurang yang memperkecilkannya atas alasan mereka sahaja yang tahu . Namun demikian, masih ramai sebenarnya yang belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu matawang utama dan antara yang memainkan peranan penting dalam kronologi ketamadunan ekonomi Islam.
Sejarah telah membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak mampu dinobatkan sebagai matawang utama berkurun lamanya pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini dapat diperkenalkan semula sebagai matawang alternatif pada alaf baru ini. Mungkin slogan “Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years“ adalah amat bertepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat ini. Terfikirkah kita semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar atau ada catatan sejarah yang menceritakan akan suatu masa yang mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan serta trajedi tersebut seringkali melanda tanpa sebab musabab atau petanda awal yang selalunya dikaitkan atau lebih sinonim menjadi akibat dari kelesuan dan permasalahan ekonomi sejagat. Kenapa ini boleh berlaku?
Sayugia diingatkan bahawa wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat yang menjadi instrument sandaran ekonomi masa kini dahulunya adalah bersandarkan emas. Setiap cetakan wang kertas mestilah bersandarkan jumlah emas yang tertentu. Dengan demikian wang kertas yang kita gunakan sebenarnya ialah resit untuk kita tuntut emas dari pihak yang berkenaan. Kertas ini dijamin oleh kerajaan biasanya dengan tulisan ’sah diperlakukan’ sebanyak mana yang tercatit di atasnya. Resit ini sebenarnya jarang kita guna untuk menuntut emas tersebut. Sebagai contoh pada muka hadapan wang kertas 10 dolar Amerika Syarikat siri 1928 ada tercatit ” Redeemable in gold on demand at The United States Treasury………….” (Peter Kershaw 1994).
Sejak Ogos 1971 Presiden Nixon telah memutuskan hubungan di antara emas dengan wang kertas dolar Amerika Syarikat. Ketika itu pihak Amerika Syarikat memerlukan belanja yang banyak untuk membiayai perang di Vietnam. Keputusan itu dibuat kerana tuntutan dari negara-negara yang menyimpan dolar untuk mendapatkan emas sudah melebihi emas yang ada di dalam simpanan. Semestinya ini berlaku kerana lebihan cetak wang kertas. Keadaan ini menyebabkan negara Amerika Syarikat tergugat kerana peras ugut melalui tuntutan emas (Adam Smith 1982, Kurtzman 1993).
Tanpa piawaian emas, pihak bank Amerika Syarikat bebas mencipta wang melalui cetakan wang kertas tanpa ikatan dengan simpanan emas lagi. Maka wang kertas dolar pun menjadi wang spekulasi kerana tiada sandaran emas lagi. Semua wang kertas di dunia yang mengambil dolar sebagai bandingan pun turut tiada bersandaran emas.
Kurtzman berkata keputusan yang dibuat Nixon telah menjadikan wang yang asalnya suatu yang benar dan nyata kepada suatu abstraksi tersimpul atau twisted abstraction (Kurtzman 1993). Dalam buku yang sama dikatakan bahawa wang kertas itu masih lagi suatu nota janji untuk pembayaran tetapi pembayaran apa kepada siapa? (It is still a promise to pay. But to pay what to whom?)
Menurut James Dines, penulis buku Mass Psychology, tindakan memarahi spekulator mata wang masih lagi belum mencukupi kerana katanya ini adalah suatu low state of blame selagi kita belum mempertikaikan sistem mata wang kertas itu sendiri dan kembali kepada emas dan perak semula (Dines Letter 1997). Mata wang kertas bukan sahaja nilainya mengikut sentimen dan boleh diberi indeks bandingan lalu diperjudikan bahkan boleh dipaksa menyatakan nilai yang palsu tanpa menurut apa yang dipanggil fundamentals.
Wang kertas telah menjadi semacam sistem kepercayaan psikologi terhadap nilai yang tertera di atasnya dan nilai tukaran yang dipaksa oleh kuasa pasaran.

Sekarang kita imbas kembali sejarah penggunaan matawang sebelum kemelut ini berlaku iaitu pada zaman sebelum datangnya Islam. Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk.
Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.
Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat sepanjang zaman kecemerlangannya; dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 9166 telah mula dikembalikan kegemilangannya sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat sebagai pelaburan. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.


